Kita sentiasa tercari-cari satu solusi yang dapat menyelesaikan masalah kita dengan segera. Seperti suis elektrik. Kita tekan sahaja, masalah selesai.
Umur anda sudah berapa tahun sekarang?
Setelah bertahun-tahun anda mencari, anda pernah jumpa solution segera seperti itu?
Tidak bukan?
Itulah hakikat kehidupan. Pahit tetapi tidak pahit sangat sebenarnya.
Semua dari kita ada masalah sendiri. Bezanya cuma kecil dan besar. Kita ambil contoh satu sahajalah, lapar.
Bila kita ada masalah lapar, kita makan. Selesai masalah.
Tetapi kemudian kita akan lapar semula. Kena makan lagi.
Begitulah sebenarnya masalah yang kita hadapi sehari-hari. Baik masalah yang menyebabkan kita sedih atau marah, jangan terkejut jika ia datang berulang-ulang. Ia bukanlah tanda kita tidak pandai menyelesaikan masalah, tetapi ia adalah lumrah alam.
Kita cuma kena tahu yang masalah itu boleh diselesaikan dan tidak akan menyusahkan kita jika kita tidak izinkan. Kita perlu “sedar” diri dan tidak bertindak yang bukan-bukan sehingga masalah itu menenggelamkan kita.
Saya rimas bila orang merujuk saya sebagai motivator atau menganggap saya penyelesai masalah yang tidak pernah ada masalah. Manalah ada orang seperti itu di dunia ini.
Walaupun kita tidak sempurna dan tidak mempunyai semua jawapan kepada masalah dalam dunia ini, ia tidak menghalang kita untuk menjadi manusia yang baik. Walaupun latar belakang dan sejarah kita penuh dengan kesalahan dan kesilapan, ia bukan halangan untuk kita berubah dan menjadi baik.
Masih belum terlambat. Tidak bermaksud kita jahat dulu kita akan jadi jahat selamanya.
Tuhan pun sentiasa membuka pintu taubat sehingga nyawa di kerongkong. Usah dilayan manusia yang kuat melabel.
Yang penting kita mahu berubah, dan kita berubah bermula sekarang dan tidak bertangguh.
Nak berubah itu memang susah. Ada sahaja masalah yang akan datang untuk menyesatkan kita kembali. Namun, teknik saya macam ini. Kenalpasti satu aktiviti atau prinsip core kita. Benda yang macam mana sekali pun kita tidak boleh abaikan. Pegang dengan kuat dan jadikan ia habit dan sebahagian dari disiplin kita.
Yang lain-lain tu kita buat yang terbaik. Kalau kita tersasar sedikit, maafkan lah diri kita dan jangan jadikan ia sebagai satu alasan untuk berhenti berubah.
Sebagai contoh dalam hidup saya, aktiviti core itu adalah solat. Sebab Allah telah berjanji;
Solat itu adalah pencegah kemungkaran.
Jika kita tidak tinggal solat, lebih mudah sedikit kita nak lawan temptation-tempation lain tu. Jadi apa yang terjadi pun, darurat macam mana sekali pun, saya akan pastikan solat terjaga.
Tetapi bukan semua solat adalah pencegah kemungkaran. Solat kita perlu khusyuk. Dan sebagai manusia yang lemah, memang susah untuk kita melatih minda kita ni untuk khusyuk waktu solat, jadi saya ambillah langkah-langkah mudah untuk memahami bacaan dalam sembahyang (mula dengan takbiratul ihram, fatihah, rukuk & sujud, duduk antara dua sujud, tahiyat dan surah lazim). Dan untuk menampal solat-solat saya yang compang-camping tu, saya rajin-rajinkan diri untuk solat sunat.
Ini juga sebenarnya berkaitan dengan tabiat. Bila kita paksa diri kita buat secara konsisten, lama-lama bila kita tangguh-tangguh, kita sendiri akan rasa tak best. Jadi selesai satu masalah. Cuma perlu kekalkan momentum tu sahaja.
Adapun benda-benda sampingan lain seperti sabar, tidak marah, ikhlas dalam pekerjaan dan lain-lain tu, saya cuba sehabis baik untuk ikut. Tetapi kadang-kadang jika tersasar tu, adatlah. Saya akan muhasabah dan cepat-cepat buang masalah tersebut. Maafkanlah diri sendiri.
Kalau gagal, jangan frust atau give up. Failure is to be expected. Yang penting kita kena buat course-correction cepat. Pelik la kan kalau ada seorang bayi tu boleh berjalan laju terus kan? Seorang bayi tu mesti kena bertatih-tatih dulu baru boleh berjalan kan?
Orang tua pun macam tu juga. Bukannya buat sekali terus selesai masalah. Kena bertatih juga. 🙂
Wisata Hujung Minggu
Cadangan awal saya mahu ke tempat yang hijau dan dingin. Tetapi atas sebab jauh, tidak ada kekosongan dan sebagainya, saya pergi ke tempat yang hijau sedikit aje tetapi masih tetap sunyi dan tenang untuk sedikit “personal” time.
Dapatlah juga saya menenangkan fikiran. 🙂
Semoga anda juga dapat weekend yang baik! 🙂
Sabri