Seminggu dua ini saya sudah boleh pulang agak awal dari pejabat. Dalam pukul 6.30 atau 6.45 saya biasanya sudah boleh meninggalkan office. Berbeza dengan keadaan dua tiga bulan lepas di mana kemuncaknya pukul 8 baru saya berkemas-kemas untuk pulang.
Pandangan mata kasar atau logik akal mungkin mengatakan yang kerja sudah sedikit berkurang, tetapi rasanya tidak juga. Pada satu-satu masa saya ada enam atau tujuh items dalam to do list yang perlu dibereskan. Bahkan sekarang lebih banyak distraction sebenarnya. Sekarang semakin banyak emel atau panggilan telefon yang perlu dijawab berbanding dua tiga bulan lepas.
Saya mencari jawapan. Dan saya rasa saya telah bertemu dengan jawapannya. Saya telah memikirkan hal ini sejak dulu lagi pun. Tetapi biasalah, tahu belum tentu menjadi mahu. Dan mahu belum tentu menjadi mampu.
Jawapannya ada terkandung dalam ayat berikut:
Surah Muhammad, ayat 7.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong Allah nescaya Dia (Allah) akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.”
Dan dalam sepotong hadis
“… Apabila dia (hambaNya) mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”
Apa yang saya cuba maksudkan?
Dulu, ketika saya ada kelapangan saya tidak gunakan kelapangan itu untuk lebih mendekatkan diri kepadaNya. Usaha itu ada, cuma tidak konsisten dan sering kalah kepada kepenatan dan godaan-godaan lain. Jadi dengan usaha saya yang seperti hendak tak hendak dan seperti melepaskan batuk di tangga itu, memanglah saya dapat apa yang saya layak. Sebab jika di rumah pun saya tidak melakukan sesuatu yang bermanfaat, saya tidak menunjukkan yang saya mampu memanfaatkan masa yang lapang, maka Allah beri saya kerja yang banyak dan 1001 alasan untuk tetap berada di pejabat sehingga malam.
Kebelakangan ini, saya cuba memanfaatkan masa lapang saya itu dengan lebih bermakna. Jika saya balik awal (sebelum Isya), saya seboleh-bolehnya akan cuba untuk solat berjemaah di masjid. Alhamdulillah, dengan izinNya ia sesuatu yang saya dapat lakukan dengan istiqamah.
Dan saya dapat rasakan perbezaannya. Bermula dengan sampai di rumah beberapa belas minit sebelum Isya dan perlu bergegas-gegas ke masjid, sekarang menjelang 7.15 biasanya saya sudah siap berada di rumah. Kadang-kadang belum masuk waktu Maghrib pun saya sudah sampai di rumah (untuk sesetengah orang sudah agak lewat, tetapi untuk saya ini sudah sangat awal!) 🙂
Walaupun hakikatnya kerja di pejabat tidaklah berkurang, kekangan masa, hambatan tanggungjawab sedikit pun tidak berubah.
Connection yang saya dapat buat adalah, dulu saya terlalai dengan dunia. Dan apabila diberikan kelapangan pun, saya tidak dapat menguruskannya dengan bijak. Sebab itulah saya tidak diberikan lebih banyak kelapangan. Tetapi kini, saya cuma menunjukkan saya mampu menguruskan 30 minit-satu jam waktu lapang yang Dia berikan, maka Dia permudahkan urusan saya serba-serbi supaya saya terus dapat menikmati masa lapang itu.
Sama halnya dengan wang sebenarnya. Ini saya notice. Orang yang miskin atau tidak kaya-kaya adalah orang yang menunjukkan mereka tidak dapat menguruskan wang dengan bijak walaupun sedikit. Sebab itulah mereka tidak dikurniakan dengan rezeki yang melimpah ruah. Sebaliknya sekadar cukup untuk transaksi harian.
Sebaliknya orang yang menunjukkan mereka dapat menggunakan wang mereka dengan bijak, dan dapat membawa manfaat kepada ramai orang dengan wang mereka, wang mereka bertambah-tambah.
Renungilah dua ayat di atas, it’s very powerful. Kadang-kadang saya rasa sebak bila cuba menghayati maknanya.
Saya sekadar berkongsi supaya kita semua tahu. Tahu yang dapat dipupuk kawan-kawan untuk menjadi mahu. Dan seterusnya dapat mendorong diri mampu. Insya Allah. 🙂
Sabri