Petang tadi saya meluangkan masa hampir 2 jam untuk “Brain Exchange” dengan salah seorang bekas colleague saya. Visa profesional beliau sudah hampir tamat, dan beliau akan kembali ke Estonia esok malam. Untuk sesi kali ini kami berbincang mengenai perancangan masa depan masing-masing dan juga lesson learnt dari pengalaman kami di syarikat kami bekerja. (sesi-sesi seumpama ini yang membuatkan saya berat hati untuk meninggalkan syarikat ini. Ilmu yang diperolehi dari sesi-sesi seperti ini dengan mana-mana rakan sekerja biasanya tidak ternilai harganya. Bukan sekadar gosip-gosip pejabat)
Beliau berpendapat yang syarikat kami agak “maskulin” baik dari segi pemasaran atau pengurusan. Walaupun pekerja wanita lebih sedikit berbanding lelaki, tetapi aura maskulin itu tetap tidak dapat dikikis. Beliau berpendapat, kami akan lebih baik jika sedikit aura feminism dapat dimasukkan ke dalam syarikat (mana-mana syarikat for that matter).
Setelah mendengar hujah-hujah beliau dan membandingkan dengan pengalaman saya sendiri, saya cenderung untuk bersetuju. Bekerja dengan lelaki mudah. Saya tidak perlu berfikir panjang dan tidak perlu micro-manage. Saya hanya perlu guide sedikit dan biasanya mereka boleh lakukan sendiri. Mereka tidak suka jika saya kerap monitor dan bertanya banyak. Mereka rimas.
Dan jika mereka melakukan kerja yang baik, pujian-pujian ringkas secara berkala sudah mencukupi. Lebih-lebih mereka akan rimas juga. Itu beberapa bulan yang lepas.
Sejak 2 bulan yang lepas, project team saya telah menerima tambahan beberapa lagi anggota wanita. Cara mereka bekerja sangat berbeza. Mereka mahukan feedback, sama ada mereka melakukan perkara yang betul atau tidak. Mereka lebih suka berkomunikasi, lebih kerap meminta pandangan dan jika mereka melakukan sesuatu yang bagus, mereka tidak kisah untuk dipuji (cuma jangan over! Tetapi frekuensinya tetap lebih kerap dari frekuensi lelaki perlu dipuji).
Saya juga mendapati wanita lebih peka terhadap perkara-perkara kecil dan mengambil berat. Sebagai contoh, bagi lelaki (termasuk bos-bos saya), mereka ada kriteria-kriteria tertentu sebelum sesuatu masalah itu dianggap besar, jika masalah itu tidak besar mereka tidak kisah sangat. Namun bagi rakan pekerja wanita masalah kecil adalah besar kepada mereka. Mereka tidak faham kenapa masalah kecil tersebut tidak boleh diperbaiki (disebabkan oleh resource allocation)
Ia memberikan saya ‘aha’ moment untuk hari ini. Dalam perniagaan saya sendiri, saya tersedar yang saya juga melakukan kesilapan ini. Saya terlalu maskulin dalam pengurusan. Kadang-kala kita perlu memahami keperluan mereka yang bekerja dengan kita supaya kita boleh menyediakan suasana yang berprestasi tinggi.
Maksud women leadership dalam post saya hari ini, bukanlah wanita sebagai pemimpin. Tetapi kepentingan seseorang pemimpin (baik politik, bisnes atau mana-mana organisasi) mempunyai ciri-ciri feminin (di samping maskulinnya!). Ciri-ciri yang saya maksudkan adalah mahir mendengar, mahir berkomunikasi, dapat bersifat empatik dan peka terhadap perkara-perkara kecil yang boleh membawa impak besar.
Maskulin atau feminin bukan pokok sebenarnya. Tetapi keperluan kita sedar, “topi” apa yang kita pakai pada sesuatu waktu itu dan kenapa kita memakainya.