Lift Off adalah siri muhasabah tahunan yang akan saya lakukan di blog ini. Berbeza dengan artikel-artikel “a year in review” yang lain saya juga akan berkongsi perancangan saya pada tahun hadapan berdasarkan apa yang telah dicapai tahun ini. Lift Off akan mengandungi banyak siri. Sesungguhnya terlalu banyak aspek yang ingin saya kupas, ulas dan kongsi. Oleh sebab itu saya membahagikannya kepada beberapa siri.
Alasan Sebenar:
Sebenarnya saya menulis ini pada jam 1.45 pagi. Saya sangat excited dan tidak boleh tidur selagi tidak menulis “Lift Off” ini walaupun saya perlu amat sangat tidur. Jika tidak pasti saya tersasar pagi esok. Jadi saya berharap dengan menulis sebahagian sahaja malam ini, saya dapat win-win balance. Tak lah lewat sangat tidur. 🙂
Ada pihak mengatakan resolusi tahun baru ini sesuatu yang sia-sia. Kita perlu sentiasa berazam menjadi lebih baik sepanjang masa. Ada juga pihak yang menyarankan agar kita menggunakan takwim hijrah dan bukan Gregorian sebagai permulaan tahun baru.
Kepada kedua-dua pihak ini, terima kasih atas pendapat anda.
Saya tidak suka membuang masa membicarakan teori dan berbahas retorik. Saya rasa yang lebih penting adalah pengisiannya.
Apa yang kita pelajari dari musahabah diri? Dan apakah perancangan kita untuk memastikan impian kita terlaksana? Itu lebih penting dari tarikh “rasmi” projek kita bermula.
Penulisan
Pada tahun ini sebenarnya secara diam tak diam, buku kedua saya (bersama co-author) telah disiapkan. Untuk buku kedua ini, Sistem Kedai Online dengan Zen Cart kami tidak menghebohkan sangat pelancarannya kerana ia disasarkan untuk pembaca advance. Dari tinjauan di kedai buku, saya rasakan sambutan menggalakkan kerana sukar di dapati (sudah habis stok perlu tunggu giliran untuk cetakan semula).
Lagipun, euphoria menulis buku sudah kami rasai selepas buku pertama dahulu dilancarkan. Jadi sekarang, kami lebih “cool”. Lagi pun saya tidak berminat lagi untuk berkecimpung dalam bidang Internet Marketing ini (berbeza dengan menggunakan internet sebagai medium pemasaran yang tetap saya akan lakukan), jadi saya tidak nampak keperluan untuk menghebohkannya.
Sebenarnya saya bercadang untuk menulis dua buah buku lagi. Kedua-duanya sudah dipersetujui penerbit, cuma penulisannya sahaja yang agak perlahan. Satu buku berkenaan Internet Marketing juga dan satu buku lagi berkenaan keusahawanan di kampus.
Kedua-dua topik tersebut topik yang dekat di hati saya kerana saya pernah hidup dan bernafas di dalamnya, insyaallah saya perlu kuatkan semangat dan tekad untuk menghabiskannya tahun hadapan.
Buku Internet Marketing (sub niche spesifik)
Walaupun saya katakan tadi saya tidak berminat lagi untuk berkecimpung di dalam bidang Internet Marketing, buku ini saya anggap “The Last Hurrah” dari saya. Mengandungi apa yang saya tahu, trik dan teknik “insider” yang saya tahu. Saya ingin berkongsi banyak teknik-teknik yang tidak diamalkan (atau tidak dilakukan dengan betul) oleh Internet Marketer tempatan.
Walaupun tidak terlibat sebagai IM, mempunyai buku yang berkualiti dalam bidang ini memberi saya kepuasan yang tidak terhingga. Ada sesetengah skeptik berpendirian bahawa kebanyakan IM tempatan hidup hanya dengan menjual informasi mengajar orang buat duit sahaja.
Ini tidak saya nafikan. Banyaknya begitu, sehingga tidak dapat dibezakan yang mana satu betul dan yang mana satu tidak. Namun, ada juga IM yang benar-benar hidup dan berpengalaman dalam menggunakan internet sebagai medium pemasaran dan mereka berkongsi kerana mendapat kepuasan dari perkongsian tersebut. Dari IM-IM inilah ilmu yang benar-benar mantap dapat dipelajari.
Dengan penulisan buku ini saya berharap dapat meninggalkan satu legasi dan juga dapat memberitahu skeptik-skeptik tadi.
Lihat-lihat, aku tak kisah pun buku aku laku atau tidak. Aku hanya menulis sekadar untuk kepuasan dan perkongsian. Jika kau beli kau dapat ilmunya dan jika kau tak beli pun aku tak rugi. Aku tak kisah. Aku ada urusan aku sendiri untuk diuruskan (yang tidak berkaitan dengan IM pun… haha)
Sombong bunyinya kan? 🙂
Namun ia menekankan kepentingan masyarakat kita supaya mengurangkan hasad dengki dan sebelum bercakap itu, pandang-pandang siapa yang diperkatakan itu dahulu,
Buku Keusahawanan Kampus
Buku ini sudah ditulis berkali-kali di dalam kepala saya, namun masih belum ada kesempatan untuk ditulis di atas kertas (di dalam laptop). Saya telah memulakan beberapa bisnes sepanjang pengajian dan kini dalam proses memulakan satu lagi. Jadi semuanya masih segar di dalam kepala.
Jikalah ada penulis bersama yang sudi menaipkan apa yang ada di dalam kepala saya ini, saya sanggup berkongsi kreditnya. Ini bayangan saya, kita lakukan sesi “interview”. Anda bertanya saya apa sahaja soalan yang anda ingin tahu (jika anda tidak tahu sekalipun, kita boleh susun bab-babnya dan sediakan soalan-soalan berkaitan), dan saya akan jawab. Kita akan rakamkan interview tersebut dalam tape recorder (laptop dsbnya) dan anda cernakan input-input dari saya tadi dalam bentuk teks.
Sebulan, saya pasti ia dapat disiapkan.
Seperti yang saya katakan tadi, penerbit telah berkali-kali bertanyakan bilakah manuskrip akan dihantar dan saya sendiri tidak kisah berkongsi kredit dan royalti dengan sesiapa yang sudi menukarkan apa yang saya tahu ini ke dalam bentuk teks.
Untuk melakukan sendiri, saya amat sibuk. Untuk melakukan dengan Sabriza, beliau banyak main. Untuk melakukannya dengan Ummar, karangan beliau tidak matang lagi. Ummairah, kecil lagi. Rakan-rakan serumah, passion mereka bukan dalam bidang ini.
Jika anda berminat dan ada sebulan masa lapang, mahu lihat nama anda sebagai co-author sebuah buku dan serius hubungi sahaja saya di [email protected]. We will find if we can work together.
Saya tahu ia belum pernah dilakukan oleh saya tetapi saya amat berharap saya dapat menulis 2 buah buku tahun hadapan. Perasaan tatkala melihat buku anda dipamerkan di rak, dan orang berbual mengenai buku anda di kedai buku adalah sangat mengujakan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata.
Travel
Diam tak diam, tahun ini saya telah berpeluang ke empat negara. Bermula dengan lawatan secara Singapura secara spontan pada bulan May, diikuti Bali- Indonesia, Kemboja & China. Saya tidak pernah merancang untuk melawat negara asing tahun lepas. Semuanya boleh saya katakan rezeki yang tidak diduga yang saya terima dengan hati terbuka.
Tahun hadapan, pasti saya akan melawat empat lagi negara baru. Tiket-tiket dan penginapan telah diuruskan, menanti tarikhnya sahaja. Tahun 2010 akan menyaksikan saya ke Thailand, Filipina, Vietnam dan Laos. Kemungkinan besar juga di celah-celah itu nanti saya akan ke China. Tembok Besar sudah menggamit-gamit kedatangan saya.
Saya tidak sangka saya boleh “ketagih” mengembara ini. Sebenarnya ia adalah secara tidak sengaja. Benar bahawa sebelum ini saya sering berangan-angan ke luar negara. Namun pengembaraan saya ke Kemboja memberikan saya suntikan ketagihan ini. Pengalaman melihat Angkor Watt yang terkenal itu yang sebelum ini hanya di baca dalam buku teks sejarah, pengalaman memandu bot di Tonle Sap, tasik terbesar di benua Asia, kemesraan penduduknya, kuasa beli yang tinggi menjadikan saya ingin mengembara ke tempat-tempat seperti itu lagi.
Pengalaman di China membuatkan saya lebih ingin mengembara melihat kebudayaan dan gaya hidup manusia di tempat lain yang berbeza dengan kita.
Manakala Bali saya reservekan untuk pergi dengan seseorang yang istimewa nanti bila orang itu telah ditemui. Bali menarik dan cantik, tetapi amat tidak nikmat dinikmati seorang. Taburan bintang di langit Bali perlu dikongsi bersama orang yang tersayang. Jadi, saya akan pergi lagi ke Bali tetapi mungkin bukan dalam masa terdekat ini lagi.
Singapura sebuah kota metropolitan yang agak sama seperti Malaysia. Tanpa sedar tahun ini saya akan melawatnya 4 kali. 2 telah dan 2 akan (bulan ini juga). 2 daripadanya atas urusan menghadiri seminar dan satu trip personal dan satu lagi trip bersama housemate. Jika bukan kerana urusan kerja dan sudah berjanji dengan rakan serumah, memang saya tidak akan pergi banyak kali.
Tahun 2010, I am looking forward to be in these exciting places. 🙂 Dan saya rasa hampir pasti tahun 2010 ini saya akan berjumpa dengan salji pertama saya. Cuma masih tidak pasti sahaja tempatnya. 🙂
Itu dari dua aspek hidup saya, penulisan dan kembara untuk siri Lift Off pertama ini. Dalam siri Lift Off kedua nanti, mungkin saya akan berbicara mengenai bisnes dan cinta pula. 🙂
Sabri
Self-Auditor
8 thoughts on “Lift Off I”