Saya baru pulang dari percutian pendek ke Siem Reap. Sebuah bandar ringkas dengan saiz lebih kurang 4 kali bandar Endau. Rupanya hampir tidak jauh berbeza kecuali di sini ada tuk-tuk.
Seimbas bandar ini tidak mempunyai daya penarik yang banyak kecuali kompleks Angkor Watt (besar ya, bukan sekadar sebuah kuil sahaja!) namun jika anda berkesempatan, berpeluang dan berkemampuan saya sarankan pergi. Jauh perjalanan, luas pemandangan banyak kebenarannya.
Baiklah, apa yang menarik?
Saya sangat gembira di sana. Gembira sebab apa?
Pertama, saya gembira kerana suasana berbeza.
Kedua, saya gembira kerana di Siem Reap pelancong dilayan seperti raja.
Contohnya, jika anda sedang menaiki tuk-tuk, anda lihat ada seorang penjaja pau sedang menarik troli paunya (ya, mereka masih tarik. Tidak ada basikal, motor ataupun kereta), jika anda memberitahu pemandu tuk-tuk, anda mahu mengambil gambar dengan penjaja pau tersebut, beliau akan berhenti dan meminta penjaja tersebut bergambar dan penjaja tersebut dengan gembiranya akan bergambar dengan anda.
Cuba anda buat macam tu di Malaysia (ataupun Indonesia, ataupun Singapura ataupun Thailand atau mana-mana negara sedikit mahu pun lah), mahu anda ditampar atau di maki hamun. 🙂
Oh ya, gambar-gambar perjalanan saya ada di page “Photos”.
Ketiga, apabila anda dilayan seperti raja, awas! Anda akan dicaj seperti raja juga. 🙂
Siem Reap tidaklah murah buat seorang pelancong. Walaupun penduduk di Siem Reap hidup sangat daif (sangat-sangat daif), namun pelancong yang datang terutama pelancong Eropah cukup banyak. Jika anda membeli sesuatu yang pelancong selalu beli (makanan, minuman, cenderamata, dll) harga yang anda akan bayar adalah sangat mahal.
Sebagai contoh untuk makanan. Sekali makan anda mungkin perlu mengeluarkan belanja US$6 average. Sekitar RM 20. Sekali makan!
Namun, barangan yang jarang pelancong beli (seperti cermin mata), saya dapati sangat murah. Oh ya, saya telah mendapatkan sepasang kaca mata hitam yang diubah suai dengan kanta pada harga cuma US$16 (di Malaysia ia berada dalam lingkungan RM 500!)
Hotel penginapan saya juga ada menganjurkan kelas ukiran buah selama sejam setengah pada harga US$ 9. Saya memang suka mencuba skill-skill baru, lagi-lagi skill-skill yang seperti ini. Harganya saya kira murah memandangkan kita akan diajar oleh chef sendiri (dan chef ini bukan sekadar mengukir bunga, beliau boleh mengukir gambar kuda dan potret selebriti juga! Jadi saya pun mendaftar. Ketika hadir saya dapati saya satu-satunya pelajar pada hari tersebut, nervous ada, gembira pun ada. Ini kerana dengan harga cuma US$9, saya akan mendapat one on one personal coaching dari pakar. Mana ada tempat lain boleh bagi harga macam ini! 🙂
Saya nervous bukan sebab apa, saya nervous sebab takut dimarahi chef tersebut. Jujurnya, tujuan saya bukan sangat untuk belajar mengukir buah, tetapi lebih kepada peluang bergambar dan peluang memberitahu orang yang saya belajar mengukir buah di Cambodia (yang pernah dijajah Perancis! Jadi connection dengan culinary master dari France tu ada… hehe)
Walaupun begitu saya berjaya juga melalui kursus tersebut dengan jayanya. Saya memilih untuk belajar sesuatu yang praktikal. Jadi saya belajar membuat set ros dan bunga-bungaan dari buah-buahan kecil (bukan tembikai). Praktikal bermaksud sesuatu yang saya boleh hadiahkan kepada girlfriend saya (jika saya telah ada gf nanti!)
Bahkan chef tersebut juga menawarkan kepada saya untuk membekukan ukiran saya supaya saya boleh bawa pulang. Memandangkan saya tidak mempunyai seseorang yang istimewa buat masa ini jadi saya menolak. Lagipun saya yakin boleh buat nanti di Malaysia. Tidak susah! 🙂
Tips terakhir untuk post ini, sentiasa tawar menawar! Memandangkan anda di caj dalam US$ dan anda di caj harga pelancong, jangan segan. Setiap penjimatan harga US$1 bersamaan dengan RM 3.50. Jika anda tidak kisah kerana harganya sudah murah pun, tawar juga. Berikan penjimatan tersebut sebagai “tip” kepada driver tuk tuk anda, pemandu, kakitangan hotel atau pelayan restoran. Mereka akan melayan anda dengan lebih baik!