Zaman sekarang nugget ayam sudah jadi sesuatu yang biasa. Ada nugget ayam biasa, nugget tempura dan baru-baru ini ketika saya pulang ke kampung sudah ada nugget ayam keju!
Begitu cepat evolusinya. Sekurang-kurangnya untuk saya.
Saya masih ingat, kali pertama saya makan nugget adalah ketika darjah empat. Nugget tersebut emak akan beli dalam perjalanan balik menuju ke rumah kami dari rumah Chik di Tunas Manja Indera Mahkota 2.
Berbeza dengan zaman sekarang yang bungkusannya satu kilogram setiap satu, ketika itu ada dijual pek-pek yang mengandungi 11 biji nugget sahaja. Emak beli yang itu. Setiap kali emak berhenti di Tunas Manja, kami gembira kerana kami tahu emak pasti akan membeli nugget ayam.
Saya ingat dengan jelas kuantitinya kerana selepas digoreng, saya akan dapat tiga, Sabriza akan dapat tiga, Ummar dapat tiga (walaupun kecil lagi, so no wonder la kan badan dia lebih besar dari kami) dan emak dan ayah akan kongsi dua.
Nugget ayam itu adalah satu kemewahan untuk kami.Makan nugget tersebut adalah satu nikmat yang tak dapat nak digambarkan.
Jadi saya akan makan dengan cara yang paling optimum untuk memaksimakan nikmat tersebut. Jika orang sekarang makan nugget seperti makan kuih, tetapi saya biasanya akan makan nugget dengan menggigit tepi-tepinya dulu. Setelah perlahan-lahan saya menghabiskan kulitnya, barulah saya gigit dagingya.
Tabiat itu kekal sehingga tua. Sebab itulah walaupun kini ada macam-macam jenis nugget (Sabriza tidak makan nugget lain selain nugget Ramly dan dalam peti rumah kami kini sentiasa ada nugget, tidak lagi dianggap sesuatu yang istimewa), saya masih prefer nugget kulit roti yang murah itu. Lebih mudah untuk dimakan kulitnya dan sambil memakannya saya terasa seperti berada di zaman kanak-kanak kembali. 🙂
Dan lebih daripada itu, saya bersyukur dengan segala nikmatNya yang terus menerus diberikan kepada saya dengan mencurah-curah, walaupun saya sering lupa meminta kepadaNya. Semoga saya dapat dikekalkan dalam landasan yang betul dan bertambah iman dari hari ke hari.
Sabri