Hijrah-Travelog Umrah adalah sebuah catatan “hijrah” peribadi saya. Ini adalah artikel keempat dalam siri ini. Anda boleh membaca bahagian pertama, kedua dan ketiga dari sini (Hijrah | Travelog Umrah)
Saya akan berangkat ke Tanah Suci dalam 5 hari lagi. Saya rasa ia masa yang sesuai untuk saya berkongsi dengan anda persediaan saya untuk ke sana. Bukan dari segi material (barang apa yang perlu di bawa), tetapi dari segi spiritual dan amalan kerohanian.
Saya memandang perjalan untuk mengerjakan Umrah ini sebagai satu pesta “buffet” makanan. Ada banyak makanan (amalan ibadah) yang terhidang yang menawarkan rasa dan bentuk kelazatan yang berbeza (pahala dan sebab). Ada makanan yang sesuai dijadikan pembuka selera (amalan pembuka) dan ada yang sesuai dijadikan pencuci mulut. Ada juga hidangan utama (ibadah umrah itu sendiri).
Saya berazam untuk merasa setiap jenis hidangan yang ada, dan untuk memastikan saya mendapat kekenyangan dan kelazatan maksimum saya juga mempunyai rancangan-rancangan tersendiri mengenai bila, di mana dan tertib melakukan ibadah tersebut.
Sebelum itu suka ingin saya mengingatkan yang saya cumalah manusia biasa dan bukanlah seorang ustaz. Saya belajar dengan membaca dan bertanya kepada mereka yang lebih tahu. Dan saya sesuaikan cara melakukan ibadah-ibadah ini (yang sunat), berdasarkan kepada objektif dan kebolehan saya. Jangan jadikan tulisan saya ini sebagai ikutan muktamad anda. Saya menulis ini sekadar untuk mengingatkan diri saya sendiri.
Anda perlu mempunyai rancangan ibadah anda sendiri berdasarkan apa yang anda mahu dari pesta buffet ini.
Cara Mengerjakan Umrah
- Mandi sunat ihram di hotel (Niatnya sahaja aku mandi sunat Ihram kerana Allah Taala)
- Solat sunat ihram di Miqat (Niatnya, sahaja aku sembahyang sunat Ihram dua rakaat kerana Allah Taala)
- Berniat mengerjakan Umrah di Miqat (Nawaitul ‘Umrata Wa Ahramtu biha Lillahi Ta’ala, maksudnya sahaja aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala)
- Bertalbiah dalam perjalanan ke Masjidil Haram (Labbaikallahumma Labbaik, Labbaikala Syarika Laka Labbaik , Innal Hamda Wan Ni’mata, Lakawal Mulk, La Syarii kalak)
- Tawaf Kaabah 7 pusingan, sunat berdoa ketika mata kali pertama memandang Kaabah.
- Solat sunat di belakang makam Ibrahim
- Minum air zam zam dengan doa (Allah humma in ni As Aluka ‘Ilman Naafi’an, Warizqan Toiyiban Wa syifa An Min Kullidak)
- Saie dari Safa ke Marwah
- Bertahalul (gunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut)
*Hijau adalah 4 rukun umrah. Yang lain itu adalah sunat sahaja.
Solat Sunat Yang Ingin Dilakukan (perlu tahu cara menunaikannya)
- Solat Sunat Taubat
- Solat Sunat Hajat
- Solat Sunat Tahajjud
- Solat Sunat Istikharah
- Solat Sunat Dhuha
- Solat Sunat Tasbih
Untuk solat-solat sunat ini, jika anda melakukan carian di Internet, kebanyakannya mempunyai doa khusus. Namun jangan jadikan ia sebagai penghalang dari mengerjakannya. Selain dari solat Tasbih, solat lain sebenarnya adalah solat sunat yang sama sahaja, yang berbeza adalah surah yang dibaca atau apa yang dibaca selepas solat.
Raptai
Disamping keinginan untuk menunaikan solat-solat tersebut (ada solat seperti solat sunat Tasbih yang saya tidak pernah lakukan dalam hidup sebelum ini sebenarnya), dicadangkan juga untuk kita lakukan sekali di sini dulu sekurang-kurangnya. Usaha juga untuk memahami bacaan dalam solat sekurang-kurangnya Al Fatihah, bacaan ketika rukuk dan sujud supaya ia boleh menambahkan kekusyukan solat kita.
Persediaan Fizikal
Banyakkan berjalan (beberapa kilometer atau menaiki bukit) dalam tempoh persediaan sebelum pergi ini supaya nanti kita tidak “terkejut”. Ada pendapat mengatakan pahala 7 kali umrah bersamaan 1 kali haji, jadi kita mungkin mahu mengambil sepenuh-penuhnya peluang di sana untuk beribadat sebanyak mungkin kepadaNya. Jangan sampai kelemahan fizikal kita mengganggu.
Biasakan juga solat berjemaah supaya kita dapat momentum awal untuk diteruskan di sana. Rebutlah saf pertama supaya di sana nanti kita tidak segan-silu untuk berebut untuk saf depan dan juga di kawasan yang makbul doa.
Antara Kawasan-Kawasan Yang Makbul Doa
- Di Raudhah Masjid Nabi (Madinah)
- Di Jabal Rahmah (Jabal Rahmah)
- Multazam
- Di bawah pancur air kaabah
- Dibelakang Makam Ibrahim
- Di kawasan Hijr Ismail
- Di Bukit Safa
- Di Bukit Marwah
(tidak limited kepada ini sahaja. Ada beberapa lagi kawasan yang tidak disenaraikan oleh semua rujukan, jadi saya tidak berani untuk senaraikan di sini, takut nanti menyebarkan sesuatu yang tidak betul)
Saya rasa cukup sekadar ini dahulu perkongsian mengenai checklist saya. Doakan saya selamat pergi, selamat pulang dan berjaya mendapat pahala, rahmat, keberkatan, doa yang makbul dengan sebanyak-banyaknya ketika di sana nanti.
Terima kasih
Sabri