Dua jenis makanan tradisional tempatan yang popular di kalangan kami adalah, mashguf (ikan bakar) dan juga kebab. Mashguf ni biasanya di sini ada dua jenis yang berbeza bergantung kepada siapa yang beli. Semalam saya berpeluang merasai versi yang sedap. Sebelum ini biasanya yang kakitangan local department kami yang beli, kedai kegemaran mereka mashgufnya tidak sedap sangat. Ikannya rasa macam ikan tasik dan cara bakarnya, agak kering.
Sebelum itu biar saya beri sedikit perspektif. Mashguf ini adalah ikan bakar, dan janganlah bandingkan dengan ikan bakar di Malaysia. Memang jauh ke belakang, lain padang lain belalang. Di sini mereka bakar ikan dengan “kosong”. Mungkin dengan lemon atau balut daun sahaja. Mereka tidak guna apa-apa herba ataupun rempah untuk perap ikan tersebut terlebih dahulu. Mereka juga tidak cicah kicap atau cili pedas. Ia dimakan begitu sahaja dengan roti (gulung macam shawarma dan letakkan hirisan bawang). Ikan yang mereka gunakan biasanya adalah ikan sungai, banyak tulang dan bersaiz sederhana. Bila cakap sedap, tidak lah sedap macam ikan bakar jalan bellamy, tapi boleh lah jika sudah jemu makan makanan dewan makan. Oklah, walaupun tak sedap, tak sedap sekali pun jika ditawarkan kepada saya, saya makan juga.
Kebab juga makanan kedua popular. Bila kami bagi duit kepada pekerja tempatan untuk membelikan makanan, memang dua makanan ini adalah makanan yang paling selalu mereka belikan (selain manisan seperti baklava, dan shaksukah untuk sarapan). Saya pun tidak tahu kenapa mereka tidak belikan makanan lain, tapi mungkin mereka juga tidak ada idea untuk beli apa untuk kami kecuali kebab dan mashguf.
Baik, jika mashgufnya sekadar okay, kebab pula lebih sedap sedikit berbanding yang ada di Malaysia. Kebab di sini lebih lembut sedikit. Ia seolah menggunakan daging cincang di kedai burger (bukan burger Ramli) dengan sedikit rempah perapan. Ia dimakan dengan roti dan hirisan bawang juga. Tapi kalau nak bandingkan dengan kebab yang terdapat di Turki, memang kebab Turki menang lagi lah.
Di samping itu, kadang-kadang kami ada juga buat makan-makan dikalangan komuniti expat. Kalau ada menu kambing (atau dipanggil kharuff) di sini, kami memang ternanti-nanti. Berbeza dengan kambing di dewan makan di mana mereka gunakan kambing frozen, untuk acara makan-makan biasanya kami gunakan kambing segar.
Kambing segar tempatan ini berbeza sedikit, dan tukang masak-tukang masak di sini pula, memang cemerlang dengan menu kambing. Saya tak pasti nak explain macam mana, tapi kambing bakar di sini memang lain. Dagingnya lembut, mudah fall of the bone. Saya tak lah pandai memasak, tapi memang sukar nak direplicate di Malaysia. Saya sendiri belum jumpa di mana-mana, hatta hotel punya kambing bakar pun yang boleh lawan apa yang saya rasai di sini. Dari apa yang saya recce-recce, mereka macam stim dahulu kambing tersebut sekejap sebelum dibakar. Wallahualam.