Antara perkara yang saya minta dijauhkan adalah perasaan bongkak yang datang secara tidak disedari, memakan diri secara perlahan, atau dalam bahasa adik saya “Gila Sendiri”. Simptom “gila sendiri” ini mudah. Bila kita rasa sakit hati tanpa provokasi orang lain. Orang yang ada bongkak dalam dirinya akan rasa sakit hati bila orang biasa melayannya seperti “biasa” kerana merasakan dirinya layak dilayan secara “luar biasa”. Kita sendiri banyak kali menyaksikan orang macam ini kan? Moga saya dijauhkan dari bersifat demikian.
Bongkak ini datang bukan sekadar dengan kuasa. Bukan sekadar dengan wang. Tetapi juga boleh datang bila kita rasa kita lebih baik mahupun lebih cerdik dari orang lain.
Itu perkara yang saya berkali ingatkan pada diri sendiri. Jangan rasa diri lebih baik dari orang lain. Hear people out. Dengar sebelum mahu diri difahami.
Bila Babi Goreng Lebih Menyelerakan Dari Ayam Goreng
Itulah juga yang saya bisikkan pada diri sendiri, sambil beristighfar bila ada kawan saya yang bertanya kepada saya, “Kenapa orang kata babi goreng lebih sedap dari ayam goreng?” “Kalau di UK nanti, cuba makan Babi Goreng Pepper. Di UK boleh makan Babi sebab darurat. Alang-alang dah darurat, makan ajalah benda yang kita tau confirm sedap.”
Ayat-ayat ini adalah ayat-ayat hipotetikal. Tetapi begitulah analoginya soalan yang diajukan kepada saya oleh seorang rakan saya. Allah menjadikan yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Yang syubhah tu yang kabur. Tetapi bila kita masih menimbang-nimbang pilihan yang haram, sama lah ibaratnya kita sedang mempertimbangkan untuk makan babi goreng instead of ayam goreng.
Mula-mula memang saya mahu marah. Bahkan dalam hati memang saya marah. Tetapi saya teringat kejahilan saya dulu. Saya cukup anti dengan ustaz atau orang yang baik-baik yang garang. Kegarangan mereka membuat saya hilang arah lebih jauh. Saya bukan lari dari kebenaran. Saya lari dari orang-orang baik ini. Bila saya lari dari mereka, saya turut menjauh dari jalan yang lurus.
Jadi saya beritahu kepada diri saya, sabar. Senyum. Buktikan yang saya bukan pandai bercakap dan complain sahaja. Cuba tunjukkan contoh. Cuba berdakwah dengan hikmah. Cuba memahami sebelum minta difahami.
Saya pun bertanya, kenapa rakan saya itu berkata demikian? Dari mana beliau tahu “Babi goreng lebih sedap dari ayam goreng?”
Lalu beliau berkata, “Rakan-rakan saya yang bukan islam bagitahu. Lagipun harga babi goreng RM 3 sahaja seketul. Harga ayam goreng RM3.50! Kenapa harga ayam lagi mahal dari harga babi?”
Saya beristighfar lagi. Tetapi saya sudah dapat narrow down punca. Saya teringat kes-kes gadis melayu dimurtadkan kerana lelaki islam tidak gentleman dan pemarah. Sedangkan lelaki-lelaki pendakwah agama lain lebih berkarisma dan lembut. Ya Allah, tidak lelaki aku jika aku tidak dapat menjadi pemimpin dan pembimbing yang sabar dan berhikmah.
Kadang-kadang kita lembut dengan orang yang kita tidak kenali. Tetapi kita garang dan bengis dengan orang yang kita kenal dengan rapat. Ya Allah, jangan jadikan aku orang yang zalim begitu. Jika aku boleh lembut dan bersangka baik dengan orang yang aku tidak kenali, sepatutnya aku boleh lebih lembut dan lebih bersangka baik dengan orang yang aku kenali.
Saya perlahan-lahan menjelaskan. Babi makan apa sahaja yang diberi kepadanya. Termasuklah sampah sarap. Kandangnya pula kotor dan tidak terjaga. Sedangkan ayam diberi makan jagung yang paling berkualiti sahaja. Kandangnya pula dikawal suhunya dan bersih. Ayam tidak boleh kotor-kotor. Nanti dijangkiti penyakit dan cepat mati.
Kerana ayam dijaga dengan baik dan bersih, maka ia lebih mahal sedikit. Ia adalah trade-off yang wajar dan berbaloi kerana kita akan mendapat makanan yang berkualiti dan terjamin bersih.
Beliau nampak berpuas hati. Dan saya rasa saya telah berjaya meredakan keinginannya untuk makan babi.
Bila Babi Goreng di Goreng Dengan Kasih Sayang, Dan Ayam Goreng Di Goreng Cincai
Dua minggu selepas itu, rakan saya itu datang kembali kepada saya. Beliau kata, beliau tidak kisah makan babi goreng. Ayam goreng yang dijual di rumahnya tidak sedap. Penjual itu tidak isi garam dan kunyit pun. Ayam dipotong dan terus dimasukkan ke dalam kuali. Dan di goreng sehingga hangus.
Sedangkan penjual babi goreng di kedai berdekatan menggorengnya dengan begitu menyelerakan. Babi tersebut dicelup dalam telur sebelum disalut dengan tepung “Kentucky” sebelum di goreng. Baunya… Hmmm…. sungguh harum. Harganya juga lebih murah.
Beliau tidak kisah. Beliau mahukan yang paling murah.
Saya beristighfar lagi. Saya rasa ini cuma ujian kecil. Tuhan mahu melatih saya. Beliau berikan saya kawan yang tidak berapa percaya ajakan saya ke jalan yang benar. Nasib baik kawan. Jika Dia berikan saya anak yang tidak percaya kepada saya, seperti Nabi Noh a.s, sudah tentu tidak mampu saya tanggung ujian tersebut.
Saya ingat artikel saya terdahulu mengenai sabar. Allah mendidik kita. Jika satu cara tidak menjadi, Dia akan gunakan cara lain pula. Saya tidak mahu diuji dengan mendapat ahli keluarga yang tidak percayakan ajakan saya ke jalan yang benar. Jadi saya kena buktikan kepada Dia, yang saya telah belajar dan mampu bersabar membimbing hamba-hambaNya ke jalan yang benar.
Saya cuba memahami rakan saya itu.
Saya tidak salahkan beliau. Saya juga seperti beliau juga dahulu. Kami berfikir secara logik. Kami orang yang kononnya terpelajar. Kami tidak mahu taklid atau mengikut secara membabi-buta semata-mata kerana agama kata begitu. Ia mesti disokong oleh rasional juga.
Saya beristighfar. Semata-mata kerana saya tidak berselera makan babi tidak membuatkan saya lebih mulia dari rakan saya itu. Saya berdepan cabaran.
Bagaimana untuk meyakinkan beliau untuk tidak makan babi? Penjual babi goreng di rumahnya lebih berkaliber dan hebat dari penjual ayam goreng? Rakannya juga telah berkali-kali memberitahu beliau yang babi sedap. Nampak dari mata dan pertuturannya yang beliau akan makan juga babi ni. Jika tidak di Malaysia, di UK nanti pasti di makannya kerana darurat.
Saya hampir buntu. Akal saya ligat berfikir. Ya Allah bantulah hambaMu ini.
Saya sedar, hidayah adalah hak Allah. Sehebat mana kita berdakwah pun, jika tidak diizinkanNya, orang itu tidak dapat berubah. Namun, jika kita tidak berdakwah dengan cara yang terbaik, rasanya seperti kita tidak menunaikan hak Allah. Saya malu kepada Allah jika tidak menyempurnakan hakNya setelah segala nikmat yang Dia curahkan kepada saya.
Jadi saya senggangkan masa, saya menggunakan Google mencari kedai ayam goreng special di Internet. Saya tahu bercakap sahaja tidak mencukupi. Saya perlu carikan dan sediakan alternatif untuk beliau. Sekadar berkata tidak dan jangan itu tidak mencukupi. Itu malas. Jika saya benar-benar percaya yang ayam itu lebih sedap dari babi, saya perlu carikan dan tunjukkan alternatif yang ada kepada rakan saya itu. Jika saya pandai bercakap sahaja, tetapi tidak walk the talk, hipokritlah saya.
Saya cakap, jika penjual ayam goreng di rumah tu tidak hebat, jangan beli ayam goreng di situ. Saya carikan resipi ayam goreng special kepada beliau dan berikan alamat kedai ayam goreng special yang paling hampir dengan rumahnya. Cuba beli ayam goreng special ini. Sedap.
“Ya Allah, inilah usaha yang terbaik dari ku hambaMu yang lemah ini. Aku telah cuba dengan hati, lisan dan dengan tanganku mengerakkan mouse mencari alternatif yang halal di Internet untuk rakan ku ini. Jadikanlah usahaku yang tidak seberapa itu mencukupi untuk menjadi asbab beliau memilih yang halal. Bimbinglah hati rakanku itu supaya hatinya tidak terbuka kepada yang haram Ya Allah.”
Sabri
*rakan saya bukanlah mahu makan babi. Dan supaya anda tidak berfikir yang bukan-bukan, Babi=Pinjaman Konvensional, Ayam=Pinjaman Islamic
Thank you for the sharing through travelog umrah.. sangat berguna untuk saya.. keep on writing..
Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen.
Semoga kita semua terus diberikan hikmah olehNya. 🙂
Sabri