Ramai orang mahu menjadi orang baik-baik. Tetapi kadang-kadang, susah juga untuk jadi baik.
Kita rasa kita baik. Tetapi adakalanya kita berfikir, “Eh, baik ke aku ni?”. “Kenapa aku fikir macam ni?”. Kadang-kadang kita rasa bersalah dan berdosa atas pelbagai sebab. Kadang-kadang kita terfikir, banyak betul cabaran yang perlu kita hadapi. Macam mana nak jadi baik ni?
Hendak menjadi baik adalah satu proses.
Apa maksudnya?
Tidak ada orang yang tiba-tiba sahaja jadi betul-betul baik. Orang yang betul-betul konsisten baik, telah melatih dirinya berada dalam kebaikan untuk satu masa yang lama. Jadi dia telah berdisiplin untuk menjadi baik.
Jika kita sedang berusaha untuk menjadi baik, tetapi tiba-tiba kelihatan seperti banyak cabaran, dan kita rasa seperti tidak mampu bertahan lagi, jangan patah hati. Itu adalah lumrah.
Hari ini saya ingin berkongsi satu tips yang boleh membantu kita menjadi lebih baik. Yang boleh membawa tahap baik kita lebih tinggi sedikit setiap kali berhadapan dengan cabaran.
Sebelum itu, mari kita lihat level baik dahulu. Baik pun ada banyak tahap-tahapnya.
- Manusia yang baik, tetapi tidak solat.
- Manusia yang baik, solat kadang-kadang bila senang (sembahyang Jumaat).
- Manusia yang baik, solat seorang-seorang.
- Manusia yang baik solat seorang diri selalu, kadang-kadang berjemaah bila senang.
- Manusia yang baik, solat berjemaah lebih kerap dari solat seorang diri dan selalu mengerjakan solat sunat dengan konsisten.
- Baik yang setulusnya baik, di dalam solat dan di luar solat (dalam kehidupan).
Dari pengalaman saya yang terhad ini, betullah apa yang dikatakan itu solat adalah pencegah dari kita melakukan dosa. Saya rasa lebih “mudah” dicompromise jika solat saya kurang berkualiti.
Untuk menjadi seorang manusia yang baik secara konsisten, mulalah bersolat.
Jika kita bermula di level 2, tanam azam untuk melangkah ke level 3.
Apabila kita ingin melangkah level, kita akan dapati cabarannya semakin kuat. Sebagai permulaan, fahami bacaan dalam solat. Fatihah yang pertama. Kemudian bacaan dalam rukuk dan sujud. Kemudiaan, doa yang paling bermakna dalam solat, doa ketika duduk di antara dua sujud.
Bila kita faham makna bacaan-bacaan ini, kualiti solat kita akan up sikit. Lebih mudah untuk khusyuk.
Macam mana perasaan khusyuk dalam solat?
Saya pun tak pasti apa khusyuk tu. Tetapi saya rasa perasaan khusyuk tu sama seperti bila kita khusyuk buat sesuatu. Pernahkah kita khusyuk membaca buku? Khusyuk menonton TV sehingga tak sedar masa berlalu dan apa yang berlaku di sekeliling kita?
Jadi khusyuk dalam solat pun begitulah. Kita khusyuk dan seronok bersolat sehingga kita tidak berapa sedar apa yang berlaku disekeliling kita.
Bersolat adalah seolah-olah kita sedang bercakap dengan Allah. Sebab itulah penting untuk kita memahami maksud bacaan dalam solat, supaya kita dapat seolah-olah sedang bercakap dengan Allah. Ia akan sangat membantu meningkatkan kekhusyukkan kita.
Solat yang sempurna adalah pencegah kemungkaran. Lebih sempurna solat kita, lebih banyak kecenderungan untuk terbuat dosa itu dapat dibatasi.
Setelah selesai solat dan berdoa, sukat solat kita. Dari 0-100, berapakah markah yang kita rasa solat kita dapat capai? Jika berdasarkan solat kita itu sahaja, sudikah Allah memakbulkan doa dan permintaan kita? Usahakan agar markah kita semakin lama semakin tinggi.
Selepas kita mempersiapkan diri untuk memahami bacaan dalam solat ini, cuba-cuba untuk biasakan diri dalam level 3. Kita akan dapati banyak temptations lain mula hinggap. Syaitan prebet telah tidak mampu mengalahkan kita. Sekarang syaitan korporal pula datang cuba untuk menggoda kita. Jadi sebab itu temptations tersebut semakin hebat.
Tetapi bagusnya dalam level 3, kita sudah ada sedikit basic. Di mana boleh, solatlah sunat. Ia berfungsi untuk menampung kedaifan solat wajib yang kita lakukan dalam keadaan yang tidak berapa khusyuk.
Berdoalah agar Allah menetapkan hati kita dan menjauhkan kita dari melakukan dosa-dosa terhadapNya.
Mulalah untuk membaca Al Quran. Ayat-ayat al Quran berupaya melembut dan melunakkan hati kita. Hafallah sedikit-sedikit ayat-ayat lazim. Untuk solat Subuh, Mahgrib dan Isya bersolatlah dengan suara yang jelas.
Kita akan dapat rasakan kualiti solat kita semakin meningkat sedikit.
Apabila kita mula tidak meninggalkan solat, kita akan dapat rasakan perbezaannya dalam hidup.
Mula berjinak-jinak untuk berada di level 4. Kita harus pastikan kita tidak lama di level 3. Berseorangan boleh, tetapi dengan jemaah kita akan lebih kukuh bersama. Aturlah waktu supaya sekurang-kurangnya kita dapat peluang untuk solat berjemaah secara konsisten. Solatlah berjemaah walaupun kita sampai ketika orang lain sudah di tahiyat akhir.
Ada orang mudah untuk solat Zuhur dan Asar berjemaah. Ada orang mudah untuk solat Maghrib atau Isya berjemaah. Ada orang mudah untuk solat Subuh berjemaah. Tak kisah solat apa pun, cubalah.
Jangan lupa untuk berdoa sendiri selepas solat. Doakan supaya proses kita untuk menjadi baik dipermudahkan. Curi waktu juga untuk solat sunat.
Setelah beberapa ketika, untuk menggapai level 5 semakin senang. Saya tidak tahu pengalaman orang lain. Saya pernah terdengar beberapa kali yang solat Subuh dan Isya adalah solat yang paling sukar untuk berjemaah. Tetapi disebutkan lagi jika kita tahu kebaikannya, kita akan berusaha untuk ke masjid juga walaupun tidak berkaki.
Jadi cuba usahakan solat Subuh dan Isya berjemaah.
Secara automatik, bila kita solat Subuh berjemaah peluang untuk mengerjakan solat tahajud itu semakin tinggi.
Akhirnya, secara tidak sedar kita akan berada di level 5.
Bila kita menjaga solat, insya Allah hati kita mudah lembut dan lebih senang untuk menjadi konsisten baik. Dengan syarat, solat dengan ikhlas dan khusyuk. Terus sukat solat diri. Pastikan sentiasa A+.
Sukar, tetapi tidak mustahil.
Mungkin kita tidak mampu untuk menjadi “baik” dalam erti kata yang sebenarnya sepanjang masa. Mungkin kita tidak cukup baik dibandingkan dengan orang yang baik yang lain.
Tetapi cerita kita berbeza dengan orang lain.
We have come a looong way.
Allah tidak memberi ganjaran kepada hasil sahaja seperti lumrah dunia. Allah memberi markah yang besar kepada usaha. Kepada proses. Walaupun hasil akhir mungkin tidak seperti diharapkan. Dengan syarat usaha kita didedikasikan untukNya.
Tidak bolehkah saya menjadi baik tanpa solat?
Boleh. Tetapi sukar untuk kekal lama. Solat membantu kita mengawal hati dan fikiran. Lima kali sehari kita melatih mententeramkan hati. Tanpa solat, hati dan fikiran tidak dilatih untuk tenteram. Doubts, temptation akan dapat menawan hati dan fikiran kita dengan lebih mudah. Dan sudah tentu bila hati dan fikiran kita sudah di tawan, susah untuk kita jadi baik lama-lama.
Bila bercakap mengenai tidak baik, kita mungkin tidak sampai tahap membunuh orang, tetapi kita mungkin menyakitkan hati orang.
Jadi kesimpulannya, untuk jadi orang yang baik perlu solat?
Ya. Tetapi ingat, cuma solat yang sempurna mampu menjadikan kita baik. Darjah solat yang tinggi akan melatih hati dan diri kita untuk mencapai tahap baik yang tertinggi juga. Tetapi jika solat kita biasa-biasa sahaja, kita akan jadi orang yang biasa-biasa juga.
Selagi kita 75% berada dalam landasan yang baik, insya Allah kita akan diberi peluang untuk hidup sebagai manusia yang lebih baik.
Solat adalah kunci kepada segala-galanya. 🙂
Sabri