Antara penulis, penceramah kegemaran saya adalah Ustaz Hasrizal dari SaifulIslam.com. Saya terjumpa blog beliau secara tidak sengaja apabila pernah dituduh melakukan cyber-squatting (dengan salah satu blog saya sebelum ini dengan nama hampir serupa) oleh salah seorang pembaca blog beliau (tetapi jangan risau, berani kerana benar. Orang tersebut cuma over excited dengan terminologi IT yang baru dipelajarinya. Sudah diresolvekan). Saya suka dengan teknik garapan beliau yang tepat ke jantung hati. Cara beliau mengolah bersahaja, tetapi hati yang mengalaminya sahaja yang tahu betapa benarnya contoh-contoh mudah yang beliau kongsikan.
Dalam postnya yang terbaru beliau ada menulis;
…
Lalu Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menyambung nasihatnya kepada si anak murid, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!”
Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan.
Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan.
Satu peringatan untuk saya sendiri. Dalam rasa ghairah menikmati kehidupan yang baru, dalam rasa kesyukuran atas makbulnya doa, dalam keadaan suka merasakan diri sentiasa dilindungiNya, saya perlu ingat yang saya cuma hambaNya. Hamba yang hanya boleh berharap tetapi tidak boleh lupa untuk sentiasa meminta, merayu kepadaNya.
TanpaNya, tidak ada apa-apalah saya ini.
“Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum.
Oleh itu, tidak kiralah berapa lama engkau telah mendampingi gurumu, jangan sesekali engkau menyangka yang tiada kesilapan yang berlaku pada perjalanan hidupmu hingga engkau terjebak kepada apa yang telah aku nasihatkan kepadamu itu”
Satu panduan pula kepada saya. Dalam berkongsi dan dalam menghadapi kehidupan “pasca-taubat” seperti kata Ustaz Hasrizal, saya perlu sentiasa ingat yang saya bukan maksum. Saya cuma manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.
Beliau mengakhiri post beliau dengan:
Sesungguhnya taubat dan kesedaran kita hanya di satu peringkat kehidupan.
Kita masih berjuang mengejar Husn al-Khatimah.
Bersederhanalah dalam membina harapan.
Agar kecewa dan keluh kesah tidak menjadi bahasa harian.
Banyakkan berdoa, banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi.
Bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.
Argh, ini satu artikel yang sangat mengesankan.
Banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi, bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.
Semoga jika ada kebaikan yang disebarkan, ia kembali menaungi kehidupan saya. Hidup saya cuma ihsan dariNya. 🙂
Sabri