Pada satu pagi Sabtu yang hening, telefon saya berbunyi. Satu nombor yang tidak dikenali memanggil. Saya pun menerima panggilan tersebut. Suara dihujung sana macam pernah saya dengar, tetapi saya tidak ingat.
Sabri, ini cikgu Zarul ni. Nak tanya sikit … (dan seterusnya)
Cikgu Zarul adalah salah seorang guru pembimbing bahas ketika saya di SEMASHUR bersama dengan Cikgu Aisyah, Puan Zubaidah dan Cikgu Hani (dan Cikgu Yusuf). Cikgu Zarul adalah guru lelaki yang sempoi. Perkara yang saya paling ingat mengenai Cikgu Zarul adalah amanat “Empat Benda Yang Saya Dapat di Universiti” beliau. Maaf cikgu, saya tak dapat lawan cikgu, saya hanya dapat dua sahaja. Nyaris-nyaris nak dapat tiga, tetapi satu tercicir di hujung jalan. 😉
Kali terakhir saya bertemu dengan beliau saya rasa adalah pada tahun 2006.
Untuk menerima panggilan dari beliau setelah 4 tahun tidak bertemu dan 8 tahun meninggalkan sekolah adalah perasaan yang mengujakan. Sebenarnya perasaan masih diingati guru setelah 8 tahun meninggalkan sekolah adalah sangat mengujakan. (macam terbalik pula ayat ni, sepatutnya murid lah kena ingat guru kan? isy3x)
Menyebut tentang zaman persekolahan, saya teringat juga kepada guru-guru saya di Sekolah Kebangsaan Galing;
1) Cikgu Atan – Apabila cikgu Atan mengajar di satu kelas, kelas sebelah menyebelah akan automatik menjadi senyap sekali. Apabila cikgu Atan tiba di tapak perhimpunan, satu sekolah menjadi senyap. Cikgu Atan mengajar Matematik. Kepada sesiapa yang tidak menghafal sifir, mereka akan menerima pelbagai bentuk hukuman. Gertakan dari cikgu Atan (belum sentuh pun lagi) sudah cukup untuk membuatkan pelajar menangis atau terkucil (betul ni!). Namun hukuman beliau yang paling famous dan masih diingati turun-temurun di SKG adalah mencium jadual sifir di dinding tandas guru.
2) Cikgu Omar – Cikgu Omar adalah Cikgu Atan versi petang. Beliaulah yang menyebabkan saya hafal sifir dengan cepatnya ketika darjah 3 (tidak macam Ummairah, darjah 6 pun masih tergagap-gagap lagi sifir). Bila tahu Cikgu Omar akan mengajar kami Matematik pun dah cukup buat kami sekelas menggeletar. Kenapalah beliau tidak ajar PJ sahaja. Cikgu Omar juga mengajar matematik. Popular dengan penampar dan rotan kontotnya, cikgu Omar juga boleh membuatkan mana-mana pelajar kecut perut. Taraf hukumannya kurang sedikit tahap ganas dibandingkan dengan Cikgu Atan. Hukuman yang beliau suka kenakan (selain dari dirotan oleh rotan kontot), adalah berdiri sampai habis masa, berdiri sambil junjung kerusi, berdiri atas kerusi, berdiri di luar kelas.
Sayang guru-guru Matematik ini tidak mengajar saya pembezaan dan pengamiran. Jika mereka turut mengajar saya dua bab penting ini satu dari dua kemungkinan akan terjadi; 1) Saya akan menjadi seorang yang terror matematik, 2) Muka saya menjadi kebas (terlalu banyak di tampar sebab tak faham-faham) hehe…
Berbeza dengan guru-guru lelaki yang saya suka jika mereka lebih “ganas” dan sempoi (lagi cepat belajar), guru-guru wanita yang bersifat keibuan lebih berkesan. Hukuman yang paling ganas pun adalah cubit (tetapi cikgu-cikgu zaman dulu ada skill mencubit yang tinggi. Boleh lebam perut kena cubit).
1) Pn Nurul Huda – Satu salah congak atau satu salah dalam spelling (English) atau ejaan (BM) akan mendapat 5 kali pukulan dengan pembaris kayu (6 bulan pertama di tapak tangan, 6 bulan seterusnya di belakang tapak tangan)
2) Pn Zalikha – terror mencubit. Saya suka mendengar beliau bercerita. Saya masih menanti sambungan episod dua Cerita Batu Belah Batu Bertangkup beliau. Ia berjaya membuatkan saya tidur malam semula setelah ditakutkan oleh filem P. Ramlee. Ketika itu pada waktu BM, Pn Zalikha akan duduk di atas kerusi dan kami semua akan duduk mengelilingi beliau ketika beliau bercerita.
3) Pn Yong & Pn Shamala – saya combinekan kedua-dua guru ini kerana mereka hampir sama dan memberikan impak yang sama kepada saya. Pn Shamala meneruskan apa yang Pn Yong sumbangkan dalam hidup saya. Pada satu zaman dahulu kala, saya sangat-sangat teruk dalam English. Ketika peperiksaan saya akan menjawab mengikut apa yang saya rasa bunyi macam sedap/betul. Pn Yong dan Pn Shamala lah yang mengajar saya membuat ayat yang betul perlahan-lahan. Dari ayat dengan 3 perkataan kepada ayat 4 perkataan dan seterusnya. Dari hanya ayat present and past tense kepada ayat yang lebih complex. English saya pada hari ini masih belum sempurna, tetapi bolehlah. Kalau tidak ada mereka berdua, mungkin saya seorang nelayan di Beserah pada hari ini. hehe…
4) Pn Aidil – Pn Aidil adalah guru kelas saya ketika darjah empat dan darjah lima. Beliau banyak mengajar dan menjadi contoh kepada saya maksud sabar, rajin, bekerja keras dan buat lebih dari apa yang orang expect. Beliau mengajar saya menjadi cemerlang. Walaupun saya bukanlah tergolong dalam pelajar paling favouritenya (saya tidak comel dan tidak petah berkata-kata), tetapi saya dapat jugalah sedikit kelebihan dengan menjadi Pengawas Perpustakaan (beliau guru perpustakaan).
Kami mendapat lesen besar untuk skip perhimpunan (tidak perlu jumpa Cikgu Atan, cikgu Omar dan kemungkinan di rotan atau di denda di khalayak ramai ~ketika perhimpunan ada sesi congak, baca sifir dan spelling mengejut kepada pelajar bertuah. Siapa yang salah akan didenda dan pelajar lain akan dipanggil sehingga soalan tersebut terjawab) dengan alasan mengemop lantai perpustakaan. Pengawas Perpustakaan di dalam kelas Cikgu Aidil juga boleh dikira sebagai lebih bertuah dan lebih berkuasa dari Pengawas (yang beliau gelar Mawas), tak percaya tanya Emirin. haha…
Waktu yang paling best pada saya adalah apabila Cikgu Aidil meminta kami datang pada hari Sabtu (4-5 orang pengawas perpustakaan terpilih) untuk mengecop buku. (Cop selang 7 muka surat). Beliau akan memberi upah RM 1 dan menghantar kami pulang (yang paling best sebab selain upah beliau, parents saya juga akan memberi duit belanja juga) Yay!
Oh ya, satu perkara lagi yang buat saya sayang cikgu Aidil adalah kerana beliau melantik saya sebagai Ketua Tugas hari Jumaat di perpustakaan. Yang lebih best lagi, beliau turut meletakkan nama “crush” saya yang pertama dalam hari tersebut… haha.. Kecil-kecil dah gatal. Jadi tiap-tiap minggu saya dapat bercakap dengan crush saya itu. Susah tau, saya sekelas dengan crush saya tu waktu darjah 3 aje. Jadi dalam kelas tak dapat jumpa. Jumpa di perpustakaan aje lah. hehe
(Oh ya, saya rasa saya patut berterima kasih kepada cikgu Omar juga). Sebab ketika darjah 3, kerana takutkan cikgu Omar saya sering memberi rakan-rakan sekumpulan saya (termasuk crush saya itu) tiru supaya mereka tidak didenda. (waktu itu saya star…hehe). Saya rasa ini punca saya ketagih menolong orang ni dan lembut hati ni, especially perempuan. Waktu zaman itu, jika anda tidak comel, satu-satunya cara lain untuk mendapatkan admirer adalah anda kena pandai. Sebab itulah saya pandai ketika itu (dan semakin tua semakin kurang sebab sumber motivasi dah tak ada) . To think of it, saya rasa bersalah juga. Kerana ahli-ahli kumpulan (rakan sekelas yang duduk berhampiran meja saya) ketika itu tidak begitu cemerlang dalam pelajaran. Mungkin kerana saya sering memberi mereka tiru, jadi mereka tidak dapat belajar. Isy3x. Betullah cikgu kata, kalau kita bagi kawan tiru kita sebenarnya memusnahkan kawan tersebut. :p
Kesimpulan post ini, saya sayang cikgu-cikgu saya dan saya suka menerima panggilan dari orang yang mempunyai nombor telefon saya. Jangan segan-segan untuk call atas apa sahaja sebab. 🙂 (bilangan orang yang mempunyai nombor telefon saya tidak banyak… Jadi kalau anda ada nombor saya, atau masih ada, memang anda adalah orang terpilih. hehe…)
Sabri
Anak Murid Cemerlang
p/s: Ada orang tanya, saya ni anak emas cikgu ya? Suka bodek cikgu ya? Sumpah tak. Saya ni bukan comel pun. Budak comel-comel je yang suka bodek cikgu. Saya sedar diri. hehe… Cuma saya ni budak baik je. Apa yang cikgu suruh saya akan buat. Boleh diharap sikitlah. Sebab itu cikgu-cikgu saya sayang saya. ahaxz… :p
p/p/s: Nanti dalam post lain saya ceritakan mengenai guru-guru di SEMASHUR dan di SABS pula. 🙂
sakit kot cikgu zalikha cubit! nasib baik hati kental, tak menangis depan dia. tapi boleh berair mata la. cubit lagi terer dari mak.
Kakak pun suka cikgu syamala! dan cikgu nurul huda juga!
Kenapa kita ada hampir semua cikgu yang sama?
Cikgu nurul huda… saye puas google mencari beliau… kalau rakan2 ade sosmed beliau tlg kongsikan kpade saye ye… begitu juge dgan ustazah fatimah….