Saya meminjam tajuk buku Perdana Menteri sahaja sebab tajuknya best dan relate. Tetapi saya tidak akan membicarakan mengenai buku tersebut dalam post ini.
Ramai orang memandang kepada idola mereka, atau kepada sesiapa yang lebih berjaya sebagai orang yang sentiasa tahu apa yang perlu dibuat dalam sebarang situasi. Steady hand, orang putih kata. Anggapan ini ada betul dan ada salah. Yang betulnya adalah setiap orang mempunyai “Genius Zone” masing-masing. Di dalam ruang kepintaran ini, ya betul. Seseorang itu tahu apa yang perlu dilakukannya. Sebagai contoh seorang nelayan yang pakar dengan bertahun-tahun pengalaman, beliau tidak risau lagi apabila ada masalah kepada pukatnya di tengah laut. Beliau tahu apa yang hendak dilakukan.
Contoh yang lebih dekat pula adalah saya dan emak saya. Emak saya risau jika komputer rosak. Ini kerana beliau tidak tahu hendak buat apa. Tetapi saya tidak kisah. Kalau boleh saya mahu kata kepada komputer tersebut, “Oh, rosak ya. Haa… Rosaklah puas-puas. Nanti Sabtu nanti aku baiki yang mana rosak tu aku buang. Better baik cepat”. Saya tidaklah pakar sangat mengenai komputer tetapi pada saya masalah komputer ini senanglah untuk difahami.
Namun lumrah, manusia tidak ada yang sempurna. Kita masing-masing mempunyai bidang-bidang yang kita lemah. Baik Perdana Menteri, Sultan, Angkawasan atau sesiapa sahajalah mempunyai blind spot ini. Kita akan gabra juga bila dihinggapi masalah-masalah dalam bidang yang kita tidak dapat kawal sepenuhnya ini. Dan memang kita tidak akan dapat kawal pun.
Cuma yang membezakan kita dan manusia yang lain adalah bagaimana kita mengawal tahap kerisauan kita dan bagaimana kita berfikir untuk menyelesaikan masalah tersebut. Bagi orang yang cemerlang, mereka cool sahaja dan mereka tidak cepat melatah. Mereka berusaha menyelesaikan masalah mereka tanpa meresahkan orang lain disekeliling mereka. Jadi kerisauan mereka kita tidak nampak. Mereka inilah biasanya yang dianggap sebagai “steady hand” ketika orang-orang disekeliling mereka sudah panik.
Apa mesej saya dalam post ini?
Ya, ada kalanya saya sendiri berperasaan seperti bot di atas. Keseorangan di dalam lautan yang luas.
Pilihan Dalam Hidup
Jika saya ingin memilih untuk rasa selamat dan hidup seperti orang lain (menghadapi masalah yang orang lain turut akan hadapi), saya tidak perlu pergi jauh. Cuma menyusur pantai hidup dalam zon selamat. Saya tidak akan rasa kesunyian.
Tetapi saya selalu berfikir, apakah saya ini? Apakah saya akan puas ataupun adakah misi saya hidup di dunia ini akan tercapai dengan hanya bermain-main di pesisiran pantai? Apakah ertinya hidup bermain-main seperti kayak di kawasan hampir dengan pantai sahaja, hidup bergembira dan bersenang-senang sedikit dan kembali ke darat apabila ombak sudah tenang?
Adakah saya ini kapal pelayar besar ataupun sampan?
Berbaloikah pengorbanan dan pilihan yang saya buat ini untuk meredah lautan luas di hadapan?
Ya, saya yakin berbaloi. Saya yakin I have what it takes. Namun dalam perjalanan bukan sentiasa ombak itu tenang. Dasar pengembara merentas benua memang perlu sedia dilambung ombak besar (berpuluh-puluh meter, bukan 1 meter seperti di pantai). Dalam waktu-waktu seperti inilah gundah gulana akan timbul menanam rasa sangsi dalam diri.
Hidup saya akan senang jika saya sekadar memilih untuk bermain di tepian pantai. Bahkan, banyak perkara yang saya tidak akan hilang jika saya memilih hidup seperti itu.
Inilah sesi refleksi diri kita.
Apakah pilihan anda? Lautan yang luas yang tidak menjamin keselamatan anda ataupun bermain-main ditepi pantai sahaja seperti yang menjadi pilihan banyak orang?
Bila saya fikirkan masak-masak, saya memilih biarlah saya mengembara ke lautan luas. Mungkin saya akan terlepas banyak perkara yang seronok-seronok di tepi pantai, tetapi saya percaya hidup ini masa untuk seronok tidak panjang mana. Bila kita sudah berusia, keseronokan tersebut akan semakin pudar. Apa yang membuatkan kita seronok ketika usia 20-30 tahun belum tentu menyeronokkan kita ketika kita berusia 40, 50 tahun. Saya berharap saya dapat enjoy pengambaraan ini ketika muda dan enjoy hasilnya pula ketika tua.
Tiada jaminan saya akan kembali, tetapi setakat hidup saya hari ini saya rasa tak menyusahkan orang sangat jika saya tidak kembali pun kan. 🙂 Saya tidak mahu hidup sekadar untuk diri sendiri, iltizam saya biarlah saya hidup dengan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan berjaya menggerakkan masa dan meninggalkan kesan yang berpanjangan. Semoga urusan saya dipermudahkan Tuhan dan diberi petunjuk sepanjang jalan.
Sabri,
Lone Navigator
saya ingin meredah lautan yang saya tak tahu berapa tinggi ombak bakal saya lalui. tapi, biarlah meredah lautan itu, saya tidak sendiri sebab dalam apa jua keadaan, setiap manusia tidak boleh sendiri. bukan bermakna lemah atau takut tetapi, its just human. we need each other. mungkin kapal boleh karam dan di saat kita panik, akan ada orang yang boleh mengejutkan kita dan membawa kita pulang dengan selamat.
setiap langkah atau tindakan berani yang diambil itu menandakan kita Hidup di dunia ini untuk melakukan yang terbaik yang ada dalam diri. so, what we got to loose right?