Saya ingin meletakkan tajuk kepada post ini “Dari Mana Datangnya Keyakinan”, tetapi tajuk-tajuk yang mempunyai soalan di dalamnya lebih komersial, jadi sudah semestinya saya memilih tajuk komersil. 🙂
Ada yang bertanya saya, saya kelihatan yakin dan suka buat benda-benda yang orang yang tidak yakin dengan diri sendiri tidak akan buat. Tetapi, kenapa ada benda-benda mudah yang memerlukan hanya sedikit keyakinan, saya tidak boleh buat?
Saya mengolah semula perbualan kami (bukan contoh sebenar, tetapi membawa kepada perumpamaan yang sama) dan saya berikan contohnya di sini:
Saya boleh pergi ke luar negara seorang diri, pertama kali tanpa tahu apa-apa mengenai tempat tersebut, dan kena tipu pun.Bukan semua orang boleh buat dan silap hari bulan boleh kena culik atau kena rompak.
Tetapi saya takut untuk approach girl. Cuba untuk berkenalan dengan girls tidak akan membuatkan saya diculik atau dibunuh. Tetapi kenapa saya takut? (ya, saya manusia biasa juga. Ada kelemahan dan kekurangan. Ada benda yang saya takut nak buat) 😉
Pendek kata secara anologinya, saya berani naik kereta Formula Satu, tapi takut naik kereta Proton Saga. Kenapa?
Dan untuk anda pula, apa yang kita semua boleh pelajari bagaimana untuk mengatasi ketakutan dan membina keyakinan.
Pertama, keyakinan datang dengan pengetahuan. Sebelum saya melawat ke sesuatu tempat yang saya tidak pernah pergi (ataupun tidak tahu berbahasa tempatan), saya akan membuat kajian melalui internet dahulu.
Kajian ini tidaklah menyeluruh. Tetapi secara asasnya saya telah mempunyai beberapa pelan “darurat”, apa yang perlu dilakukan jika sesuatu yang tidak diigini terjadi.
Begitu juga dalam berucap kepada awam. Biasanya, saya hanya bercakap mengenai perkara yang saya tahu dalam bahasa yang saya tahu. Jika anda meminta saya bercakap mengenai sesuatu yang saya tidak tahu, saya tidak akan yakin juga.
Dalam perkara-perkara yang saya tidak yakin pula, biasanya apabila saya merasakan pengetahuan saya tidak cukup. Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan apabila senario-senario yang saya tidak ingini terjadi. Bila saya tidak tahu, keyakinan pun tidak akan hadir.
Kedua, keyakinan datang dengan persediaan. Sebelum saya melakukan sesuatu yang membuatkan saya gentar atau gemuruh, saya bersedia terlebih dahulu dengan lengkap. Saya ada plan A, B, C sekurang-kurangnya. Saya tahu dengan tepat apa yang perlu saya lakukan tidak kira apa yang terjadi.
Dan saya berulang-ulang kali membayangkan senario-senario ini di dalam kepala supaya jika ia benar-benar terjadi, saya tidak panik. Sebagai contoh, sebelum saya memberikan seminar/ucapan awam, malam sebelumnya saya biasanya tidak tidur nyenyak (itu antara sebab saya tidak suka buat seminar). Sebelum tidur saya akan membayangkan situasi-situasi yang saya berkemungkinan lalui esoknya.
Untuk pengetahuan anda, banyak ahli-ahli sukan terkemuka dunia menggunakan teknik visualisasi seperti ini. Tiger Woods membayangkan berkali-kali beliau memukul sesuatu bola itu sebelum beliau memukulnya. Sebelum beliau bermain di satu-satu lapangan golf, beliau terlebih dahulu bermain secara “maya”.
Ketiga, keyakinan datang dengan pengalaman. Satu perkara yang bagus mengenai pengalaman. Semakin berpengalaman kita dalam sesuatu perkara, semakin kurang persediaan yang anda boleh lakukan. (tetapi sudah tentu ini akan memberi kesan kepada keputusan akhir)
Sebagai contoh, apabila saya pergi ke negara asing yang saya tidak kenal sesiapa di sana, saya tidak terus pergi ke China atau Vietnam atau lain-lain negara pelik. Solo adventure saya yang pertama adalah ke Singapura. Dari situ saya mendapat “momentum”. Seterusnya saya ke Kemboja yang saya tahu penduduknya boleh berbahasa Inggeris.
Jadi, bila saya pergi ke negara-negara yang betul-betul asing, keyakinan yang saya pernah melakukannya itu ada dalam diri saya. Cara saya berjalan lain.
Tips: Bila anda berjalan dengan yakin, lebih kurang sedikit masalah anda. Jumlah orang yang cuba untuk mengambil kesempatan (menipu) tidak seramai jumlahnya jika anda berjalan dengan rasa gundah gulana dan takut-takut.
Keempat dan tips akhir hari ini, keyakinan datang dengan kuasa. Kuasa ini boleh didapati dari beberapa sumber. Sumber yang paling mudah adalah kenalan ataupun wang. Bila kita berjalan dengan poket kita berisi, kita tahu kita “bersedia”. (lebih kurang sama dengan point pertama)
Kuasa juga memberitahu kita secara tidak langsung yang kita boleh melakukan apa sahaja jika terpaksa untuk mengeluarkan diri kita dari masalah. Sebagai contoh, jika di negara asing kita dikejar orang jahat, kita ada duit dalam poket kita, kita boleh tahan mana-mana teksi untuk membawa kita lari. Ataupun membayar orang jahat tersebut untuk berhenti dari mengejar kita. Ada macam-macam kemungkinan boleh dilakukan. 🙂
Jadi itu empat tips dari saya untuk membina keyakinan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya anda tidak yakin. 🙂
Dan untuk menjawab soalan kenapa ada perkara yang saya yakin dan ada perkara yang tidak, itulah puncanya. Ada perkara dan situasi yang berada diluar kawalan saya sehingga saya tidak dapat membuat apa-apa yang patut seperti yang saya tuliskan di atas, jadi saya tidaklah yakin.
Untuk tempat-tempat di mana keempat-empat perkara ini sukar dilakukan, seperti mendapatkan keyakinan untuk berkenalan, jangan tanya saya. Saya pun masih mencari formulanya. hehe.. 🙂 Namun apabila saya sudah dapat, saya pasti akan berkongsi di sini.
Stay Tune! 🙂
Sabri