Nenek kesayangan (kami panggil Tok) saya baru meninggalkan saya pagi semalam. Saya berkesempatan untuk berada di sisinya sebentar ketika Tok menghembuskan sisa-sisa nafas terakhirnya. Pada saya, tok adalah contoh manusia yang menggunakan hidup sepenuhnya. Walaupun hidupnya tidak sempurna, tetapi usaha yang beliau berikan adalah jauh lebih hebat dari kemampuan dirinya. Biar saya ceritakan mengenai wanita hebat ini.
Tok berumur 89 tahun, lebih kurang sebaya Dr. Mahathir. Dan seperti mana Dr Mahathir aktif, begitulah juga tok. Cuma bezanya tok perempuan, dan tok bukan seorang bekas Perdana Menteri.
Pagi semalam, tok meminta di bawa ke hospital. Cho & Ayah Cho (pakcik & makcik saya) pun membawanya ke hospital. Tok masih gagah dan boleh berjalan sendiri (ramai rakan seusianya sudah terlantar di mamah usia). Di hospital, setelah diperiksa, doktor meminta tok agar di X-Ray. Paru-paru tok mempunyai sedikit air.
Ketika menanti giliran untuk di X-Ray, tok semakin lemah. Selepas di X-Ray, pernafasan tok mula tidak teratur. Jantung tok pula menjadi lemah. Tok di rawat di Zon Kritikal Bahagian Kecemasan. Pada waktu ini (kira-kira jam 9 pagi), Dr meminta Cho memanggil waris-waris terdekatnya kerana tok sudah tenat. Tok tidak memberi reaksi kepada sebarang ubat/tindakan yang Dr lakukan. Alat bantuan pernafasan disambungkan.
Walaupun Tok tenat, tetapi Tok tetap kelihatan tenang sepanjang waktu. Kami di suruh berjumpa berdua-dua.
Ketika saya berbisik ke telinga tok, saya lihat mata tok bergenang air mata. Saya mengusap dahi tok buat kali terakhir, masih panas. Saya menjadi semakin sebak. Mengetahui yang detik-detik terakhir tok untuk meninggalkan kami semakin hampir.
Dalam pukul 10.30-11 pagi, setelah ayah long dan mak long tiba, doktor menghentikan alat bantuan pernafasan. Saya menghubungi sepupu-sepupu saya memaklumkan pemergian tok.
Tok adalah seorang wanita yang cekal. Tok mempunyai 5 orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan. 2 dari anak perempuannya (makcik-makcik saya) meninggal dunia lebih dulu darinya. Setahun dua tahun yang lepas, anak perempuan tunggalnya yang masih tinggal (Cho) menjalani pembedahan untuk membuang fibroid. Bayangkan perasaan seorang ibu yang telah kehilangan hampir kesemua anak perempuannya, dan satu-satunya yang tinggal sedang bertarung di atas meja pembedahan?
Tok pernah mengucapkan kepada saya, jikalah beliau boleh menggantikan tempat makcik saya itu beliau tidak kisah. Tok begitu sayu dalam kata-katanya, tok merasakan beliau sudah hidup cukup dan tidak kisah untuk pergi ketika itu bagi pihak Cho.
Dengan izin Allah Cho pulih dan tok juga sihat seperti biasa.
Sejak seminggu lepas, tok mula mengatakan yang Tok tidak sesihat biasa. Mujur saya bercuti 2 minggu. Jadi saya sempat bertemu tok beberapa kali kebelakangan ini. Minggu lepas Cho membawa tok ke klinik. Setelah pemeriksaan, Dr mendapati kandungan gula dalam darah tok sangat rendah. Dr meminta tok meminum lebih banyak air manis.
Tetapi tok fobia dengan gula. Sudah bertahun-tahun tok tidak minum air bergula. Tok tidak mahu. Tok takut terkena kencing manis. Ini disebabkan hampir kesemua anak-anaknya menghidap kencing manis (semestinya kerana kesalahan masing-masing, bukan keturunan) 😉
Ketika pertama kali saya bertemu tok dalam dua minggu ini, saya sudah dapat rasakan kesihatan tok tidak begitu memuaskan. Tok okay sahaja, tetapi cara beliau bernafas seperti ada yang tak kena. Tok ada bertanyakan bila Sabriza balik. Saya memberitahu tok, bulan 7 nanti. Saya menyuruh Sabriza menghubungi tok untuk berbual dengannya, just in case. Mujur Sabriza ada menghubungi tok keesokan harinya.
Pagi semalam tok dijemput Illahi.
Tok sudah bersedia. Beliau sudah seringkali memberitahu Cho yang beliau meletakkan wang untuk urusan pengkebumiannya nanti di bawah tikar tempat beliau selalu baring. Bahkan, beliau juga telah meletakkan semua barangan yang diperlukan untuk pengurusan jenazah di dalam satu beg.
Di saat-saat akhir hidupnya, beliau tidak mahu menyusahkan orang dan beliau memang the rock of her children life.
Tok, Seorang Wanita Hebat
Ayah adalah anak emas tok. Menurut makcik-makcik saya (menantu tok), bila anak tok sayang secara automatik menantu dan cucu-cucunya menjadi kesayangan tok. Saya rasa tok sebenarnya sayang kepada semua anak-anak lelakinya dan memang anak-anak lelakinya menyayangi tok lebih dari isteri masing-masing (saya rasa).
Ayah mengatakan yang tok sayang lebih kepadanya kerana dulu beliau bawa tok ke pasar setiap hari dan tiap-tiap hari pergi rumah tok (well, if you know my father, this should not be a suprise). Mak sampai kecil hati sebab ayah selalu cakap mak masak tak sedap macam tok (which hampir semua anak lelakinya buat dekat wife masing-masing).
Bila dia tahu ayah ngah nak datang, beliau akan hamparkan tikar, siapkan dan hidangkan minuman di ruang tamu.
Bila dia tahu ayah de nak datang, beliau akan suruh orang belikan keropok di Tanjung Lumpur sebab beliau tahu ayah de suka sangat makan keropok.
Saya dibesarkan dengan masakan ala-tok. Kadang-kadang ketika kecil dahulu, saya dijaga oleh tok. Emak pernah memberitahu saya, waktu kecil-kecil dahulu sebelum tidurkan saya, Tok akan menghalau semua ayamnya masuk reban dahulu. (sebab saya selalu terbangun jika terdengar bunyi ayam bising)
Tok tukang masak yang hebat. Air tangan tok memang unik hebat dan berbeza. Sup ikan jebung tok dan asam pedas tok adalah makanan common, tetapi rasa apabila ia dimasak tok sangat-sangat berbeza. Tok juga membuat rendang yang paling sedap pernah saya makan, (dan saya telah mencuba rendang di serata Malaysia). Saya pernah terdengar ketika hari raya, seorang makcik saya berkata kepada emak (mereka sedang belajar resipi tok) yang mereka perlu salin resipi tok ini betul-betul. Ini kerana walau seulas bawang tertinggal pun, anak-anak tok akan dapat rasa.
No offence to Sabriza and my mom, memang berbeza. Mak saya terpaksa develop kemahiran masak benda lain seperti telur bungkus (apa-apa yang tok tak masak), kerana apa-apa yang tok sudah biasa masak, mak mesti tidak dapat lawan. Even singgang (masakan paling malas di dunia) emak pun ayah cakap tak sama macam tok masak.
Contohnya pada hari raya lepas ketika menjamah rendang tok, saya immediately dapat agak yang mesti ada orang lain tolong tok masak rendang tersebut kerana ia tidak se pure rendang yang tok selalu masuk. Memang betul pun, Sabriza yang tolong rupanya. Saya sekadar berkata, “patutlah rasa lain”. 🙂
Tok, a Doting Grandmother
Saya tidak tahu bagaimana nenek/tok/tok wan anda. Tetapi tok saya sebiji seperti nenek konvensional dalam tv. Tok sangat penyayang kepada cucunya. Waktu kecil-kecil dahulu, saya sering mengikut tok ke pasar. Tok antara orang pertama bawa saya naik bas, teksi dan beca (Ya! Among the only few times saya naik beca). 🙂
Setiap kali ikut tok ke pasar, tok mesti belikan saya air tin/air kotak.
Kadang-kadang tok akan belikan cikedis (jajan) atau permainan juga.
Saya juga suka ke rumah tok waktu kecil-kecil dahulu dan lebih suka tidur di sana, sebab di rumah tok, emak dan ayah tak akan berani marahkan kami. hehe… :p (kalau kat rumah tu, hari-hari kena pukul). Sebab rumah tok dan rumah kami tidak jauh (satu Kuantan juga), dan memang ayah hari-hari suka pergi rumah tok, jadi memang saya sentiasa cari alasan untuk duduk di rumah tok.
Satu ketika dahulu, tok mempunyai kedai kecil dan empayar kuih rayanya sendiri di Kuantan. Setiap kali hari raya, sebahagian anak-anak dan cucunya akan membuka gerai menjual kuih raya. Di salah satu gerai inilah saya berkenalan dengan dunia keusahawanan. Saya rasa saya memang mendapat trait usahawan ini dari tok.
Tetapi yang kelakarnya, saya masih ingat hari pertama saya membantu ayah di gerai ketika bulan puasa (ketika saya darjah dua saya rasa). Hari pertama saya tolong, malam itu terus saya demam apabila berbuka di rumah tok. Habis ayah saya kena marah dengan tok sebab biarkan budak kecik tolong dia di gerai. hehe… :p
Kenangan saya yang terakhir bersama tok yang saya akan ingat sampai bila-bila adalah kejadian pada satu hari raya.
Ayah saya komplen yang beliau sudah tidak ada gigi, jadi beliau tidak boleh makan (4 batang je pun sebenarnya yang tak ada. Ayah saya memang jadi macam budak-budak kalau dengan tok). Lantas tok saya memberitahu beliau, “Alah, aku ni Hasan berpuluh tahun hidup tak ada gigi, boleh je makan. Banyak cakap pulak” (tok memang tak ada gigi langsung)
To think of it, antara makanan kegemaran tok lately adalah biskut kering yang keras tu. I doubt ayah boleh makan. Tapi tok makan selamba je walaupun takde gigi. 🙂
I think my memory of tok does not do justice for her. Ada banyak lagi sebenarnya memori-memori best dari seorang nenek yang terbaik di dunia ini. You can read some more from my sister’s blog here.
Semoga roh tok ditempatkan bersama roh orang yang soleh dan solehah.
Alfatihah.
Sabri